11 Dec 2017

Hanya Aku


Assalamualaikum


Tahun 2017 bakal melabuhkan tirai tidak lama lagi. 
Tahun 2017 banyak mendewasakan aku tika ini. 
Terima kasih atas segalanya.

Tahun 2017 adalah tahun yang kebanyakkan masa aku luangkan dengan sekolah.
Tahun yang sangat sibuk kerana peperiksaan yang baru sahaja selesai akhir bulan lepas.
Sungguh aku berat hati meninggalkan zaman persekolahan yang bagi aku cukup
memberi impak yang sangat mendalam.
Mana tak hendaknya kenangan tidak mungkin dapat dibeli dengan wang ringgit.

Mungkin aku tidaklah serapat mana dengan mereka.
Tetapi perkenalan 2 tahun yang aku lalui bersama mereka bukanlah satu tempoh yang singkat
Mungkin juga aku dapat menyelami isi hati mereka sedikit sebanyak.
Segalanya aku tempuhi bersama mereka.

Setiap perkenalan yang terjalin sudah tentu ada bahagianya ada gaduhnya.
Namun segalanya berlalu dengan pantas tanpa aku sedari.
Aku seperti biasa masih saling mencari siapa sahabat yang mampu berdiri teguh disisi
Menemani aku tatkala aku mulai rebah


Mencari sahabat yang benar benar sahabat bukanlah hal yang mudah namun 
Aku tidak mudah berputus asa dalam meneruskan pencarian
Aku belajar untuk tidak terlalu bergantung pada seseorang
Agar suatu hari nanti aku mampu berdiri dengan utuh

Sungguh kenangan itu hanya tersisip kemas dalam lipatan hati aku.
Sesuatu yang indah itu pasti datangnya dari sekeping hati yang cukup ikhlas
Aku masih orang yang sama mungkin bicaranya sedikit berbeza namun 
Aku tetap manusia yang sama

Aku lebih suka meluah rasa bersendirian berbanding berkongsi rasa dengan seseorang
Mungkin kerana aku dilahirkan seorang sahaja sepanjang hidup aku
Bukan semua orang akan memahami apa yang kita rasa
Jadi aku memilih untuk mencoretkan sahaja apa yang aku suka

Kehidupan tidak selalunya indah.
Adakalanya derita datang menghampiri seolah-olah menghakimi diri
Tetapi hanya manusia yang kuat dan tabah yang mampu menghadapinya
Tanpa ada rasa keluh di dada yang berat untuk ditampung.

Bahagia itu akan tiba apabila tiba waktunya.
Kita hanya perlu sabar dan tempuhinya dengan berani.




                                                                     Yang Benar,
                                                                    Najwa




Kuat


Assalamulaikum,


Dunia penulisan yang tidak lagi asing dalam diriku.
Bercakap mengenai pengalaman, entah berapa banyak pengalaman yang aku lalui
Sedikit sebanyak telah memanusiakan aku menjadi seorang manusia yang jauh lebih kuat
Setiap orang ada naik turunnya seperti air yang ada pasang surutnya
Bukan aku hendak menidakkan takdir tapi satu benda yang aku belajar iaitu belajar untuk
menerima hakikat yang sudah tersurat.

Aku juga sama seperti orang lain punya zaman empayar, zaman jahiliah, dan zaman kejatuhan
Cuma kini aku semakin menginjak dewasa dan semakin memahami erti kehidupan
Satu pesan dari aku buat titipan untuk sesiapa sahaja yang membaca

"Berhati-hatilah dengan munculnya orang yang salah ketika diri kita dicengkam
masalah. Dia mungkin berwajah kekasih, sahabat, syeikh. Melodinya melodi cinta tetapi
hatinya hati serigala!

Hati aku tersentap bagai dicarik satu persatu. Ada benarnya kata-kata itu.
Aku pasti sekiranya setiap bait-bait itu dihadam sedalam-dalamnya
Kita pasti akan menemui jawapannya.
Aku tidak menyalahkan takdir meskipun aku pernah menjumpai orang yang salah
Tapi aku ambil dari sudut positif dan berterima kasih kepadanya
Kerana tentu ada hikmah yang akan menunggu di penghujung jalan

Setiap perkara yang aku lalui
Aku perhatikan sebaik-baiknya supaya kesalahan yang sama tidak akan terulang
Aku bukan anak muda yang suka menyalahkan orang lain 
tanpa sebarang bukti yang kukuh
Tapi lebih banyak memerhati dalam diam.

Mungkin di usia aku yang baru menjangkau belasan tahun pada waktu itu
Aku tidak berfikir panjang baik dan buruk pada masa hadapan
Kalaulah masa itu boleh diputarkan 
Tidak sanggup rasanya memikirkan kembali.

Sendunya pada waktu itu sikap kurang matang dan hawa nafsu 
serta bisikan-bisikan halus yang menutupi pendengaran dan pemikiran aku
menjadikan aku membuat keputusan terburu-buru
Sungguh aku menyesal dan berharap aku akan lebih bijak dalam mengatur
kehidupan selepas ini.

Aku dengan seikhlasnya dan lapangnya dada ingin melepaskan segala
keresahan yang terbuku di hati ini jauh dari kehidupan aku
Selamat tinggal kenangan pahit yang tidak ada secebis pun ketenangan.
Jauhi dari meracuni pemikiran serta hati dan jiwa aku

Akhir dari aku tersenyumlah meskipun dunia menghempasmu
begitu kuat. 



                                                                                       Yang Benar,
                                                                                       Najwa